KUALA LUMPUR 28 Mac - Pelaburan Mara Bhd. (PMB) yang dahulunya dikenali sebagai Amanah Saham Mara Bhd. (ASMB) mahu melebarkan sayapnya untuk menjadi konglomerat pelaburan dan kewangan syariah sepenuhnya.
Pengarah Bersekutunya, Nik Mohamed Zaki Nik Yusoff berkata, selepas penjenamaan semula entiti itu pada 1 Mac lalu, PMB tidak mahu mengehadkan peranannya sebagai syarikat pengurusan dana amanah sahaja.
“Kami akan melibatkan aktiviti-aktiviti kewangan berpotensi termasuk pembiayaan perniagaan, kawalan kredit, pembangunan usahawan, khidmat nasihat kewangan dan pelaburan, Ar-Rahnu dan Takaful, “ katanya semasa berucap di majlis makan tengah hari bersama media di sini hari ini.
Tambah Nik Mohamed Zaki, penjenamaan semula dan transformasi PMB adalah untuk memantapkan hala tuju syarikat induk dan anak-anak syarikatnya dalam mencapai sasaran perniagaan.
Ia menampilkan logo yang lebih segar sebagai simbolik kepada langkah strategik untuk mempelbagaikan saluran dan jaringan perniagaan yang lebih tinggi.
Sejak ditubuhkan empat dekad lalu, Nik Mohamed Zaki menambah, PMB telah melibatkan diri dalam perkhidmatan nominee, hartanah, pegangan pelaburan selain pengurusan dana unit amanah di bawah syarikat milik penuhnya, ASM Investment Services Bhd. (ASM Investment) yang ketika ini menguruskan 13 dana unit amanah dan satu dana perlindungan modal.
“ASM Investment sedang giat merangka strategi dengan beberapa dana baharu akan dikeluarkan di samping melancarkan semula dana-dana sedia.
“Kami juga merancang untuk melancarkan sekurang-kurangnya satu lagi dana perlindungan modal menjelang hujung tahun ini selain menggabungkan beberapa dana sedia ada agar menjadi lebih mantap,” tambah beliau lagi.
Jelasnya, ASM Investment ketika ini sedang berada di peringkat akhir proses pemantapan ciri-ciri tambahan dana-dana tersebut sebelum ia dilancarkan.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ASM Investment berkata, antara dana yang terlibat adalah Dana Pasaran Kewangan Syariah ASM akan ditukar kepada Dana Pengurusan Tunai Syariah ASM.

