HOME : NEWS & UPDATES

PELABURAN MARA SAMBUT ULANG TAHUN KE-55 DENGAN LANCAR DANA BARU DAN METERAI DUA PERJANJIAN

2022-06-28

KENYATAAN  MEDIA
PELABURAN MARA SAMBUT ULANG TAHUN KE-55 DENGAN LANCAR DANA BARU DAN METERAI DUA PERJANJIAN
Kuala Lumpur - Pelaburan MARA Berhad (Pelaburan MARA), milik penuh MARA Corporation Sdn Bhd hari ini telah mengadakan Sambutan Ulang Tahun ke-55. Majlis sambutan telah dihadiri oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar.


Pelaburan MARA sebelum ini dikenali sebagai Amanah Saham MARA Berhad ditubuhkan pada 24 Jun 1967 dengan tujuan untuk mewujudkan kesedaran dan mendidik golongan Bumiputera untuk terlibat dalam pelaburan dan seterusnya meningkatkan pegangan ekuiti golongan ini yang pada ketika itu dalam tahun 60-an yang rata-ratanya terdiri daripada petani dan nelayan. Syarikat ini berperanan sebagai satu entiti yang mewakili Bumiputera untuk terlibat secara langsung dalam ekonomi negara terutamanya mempunyai pegangan ekuiti di syarikat-syarikat tersenarai di Pasaran Saham Malaysia- Singapura.
Dalam ucapannya, Mahdzir berkata ‘Pelaburan MARA Berhad menjadi sebahagian daripada sejarah perjuangan nasib Bumiputera di tanah air sendiri. Ini membuktikan kesungguhan pihak Kerajaan sejak dari awal lagi untuk terus-menerus membantu agenda Bumiputera di luar bandar.” “Kita harus tumpang berbangga kerana penglibatan masyarakat Bumiputera luar bandar ke dalam pelaburan saham amanah bermula dengan dana yang diuruskan oleh Amanah Saham MARA Berhad yang dilancarkan pada 1968”, tambah beliau.
Di majlis yang sama, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut melancarkan dana terbaharu PMB Investment Berhad (PMB Investment), syarikat Kumpulan Pelaburan MARA. Dana tersebut, PMB Shariah Greater China Equity Fund (PMBSGCEF) mensasarkan bursa Wilayah China. Mahani Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment berkata, “Wilayah Tanah Besar China dipilih kerana PMB Investment belum mempunyai dana yang mensasarkan wilayah ini dan kami berpendapat wilayah China merupakan pasaran yang sangat besar dan berpotensi untuk meningkat pesat ekoran pembukaan semula aktiviti ekonominya dan pada masa ini saham-saham syarikat yang tersenarai di bursa tersebut masih berada pada paras yang menarik.” “Ini menjadi faktor utama menarik minat kami untuk melancarkan dana seumpama ini. Tambahan pula, dengan pertumbuhan pasaran lain semakin dingin, ekonomi China masih di antara 10 ekonomi dunia yang pesat berkembang”, kata beliau.
PMBSGCEF merupakan dana ke-19 PMB Investment. Ia sesuai untuk pelabur yang mempunyai tahap risiko sederhana hingga tinggi dan mahukan keuntungan dalam jangka masa sederhana hingga panjang menerusi pelbagai portfolio pelaburan syariah yang tersenarai di DJIM Greater China Index (DJIM - Dow Jones Islamic Market), meliputi pasaran wilayah Tanah Besar China, Hong Kong, Taiwan dan Macau.
 
Menurut Mahani, strategi pelaburan PMBSGCEF ialah, dengan melabur di antara 70% - 99.5% daripada nilai aset bersihnya ke dalam ekuti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti yang tersenarai di bursa wilayah Tanah Besar China tapi tidak terhad kepada DJIM Greater China Index sahaja.
Di majlis yang sama PMB Investment turut menandatangani perjanjian pengedaran dengan melantik UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. (UOB Kay Hian) sebagai Penasihat Institusi Unit Amanah atau IUTA (Institutional Unit Trust Advisor) untuk menjadi saluran pengedaran serta memasarkan semua produk-produk PMB Investment.
Selain itu, sempena Sambutan Ulang Tahun ke-55, Pelaburan MARA telah menandatangani perjanjian pegangan saham dengan Evergreen Corporate Sdn Bhd (“ECSB”). ECSB merupakan sebuah syarikat kitar semula yang terlibat dalam memproses tayar terpakai menjadi diesel gred industri.
Menurut Datuk Zulfikri Osman, Pengarah Eksekutif Kumpulan Interim, Pelaburan MARA, “penglibatan Pelaburan MARA dalam ECSB adalah lebih kepada rakan ekuiti strategik, di mana pengalaman 55 tahun kami di dalam dunia korporat diharap boleh membantu menaiktaraf PKS seperti ECSB ke peringkat yang lebih tinggi dalam dunia korporat.”
ECSB merupakan syarikat kitar semula yang terlibat dalam memproses tayar terpakai menjadi diesel gred industri beroperasi di Teluk Gong, Selangor dengan kapasiti pengeluaran 60,000 liter diesel sehari. ECSB dalam usaha untuk membina kilang tambahan di tanah miliknya di Simpang Pulai, Perak, yang mampu memproses 1 juta tan tayar sehari dan menghasilkan 480,000 liter diesel sehari.
Datuk Zulfikri yakin ECSB berpotensi untuk berkembang maju dengan inovasi teknologi hijau kitar semula yang terbukti tidak mencemar alam sekitar dan menggunakan BAT (Best Available Technology) yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar dalam pengawalan pencemaran udara.
Selain itu, Pelaburan MARA berhasrat dalam jangka terdekat untuk membantu pihak Kerajaan mengurangkan subsidi diesel dengan menghasilkan diesel alternatif tanpa subsidi. Selain daripada itu, meletakkan sasaran untuk ECSB disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2025.
Untuk rancangan masa depan, Pelaburan MARA telah membuat libat urus dengan bakal rakan-rakan perniagaan dalam industri berkaitan ESG (Enviromental, Social and Governance) seperti dalam industri perubatan, pengeluaran kenderaan elektrik, sukan dan produk kewangan.
Turut hadir di majlis tersebut, YB Dato' Sri Abdul Rahman Bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Haji Hasbi Bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, YBrs. Encik Mas Rizal Bin Mohd Hilmi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Pembangunan Luar Bandar, YB Senator Dato’ Wira Othman bin Aziz dan Datuk Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA.
Pelaburan MARA Berhad merupakan sebuah firma perkhidmatan kewangan dan pelaburan syariah dengan spektrum perniagaan termasuk pelaburan, pengurusan aset,

perkhidmatan pembiayaan kewangan dan nasihat korporat serta perkhidmatan data pelaburan. Selain PMB Investment, terdapat empat lagi syarikat yang membentuk Kumpulan Pelaburan MARA, iaitu PMB Tijari Berhad, PMB Analytics Sdn. Bhd., PMBConsulting Sdn. Bhd. dan PMB Assets Sdn. Bhd.
-habis-


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
Marina Ghazali
Ketua, Komunikasi Pemasaran
Pelaburan MARA Berhad Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut 50400 Kuala Lumpur
T: 03-4145 3828
F: 03-4145 3801
M: 019-232 7423 marina@pelaburanmara.com.my