HOME : NEWS & UPDATES

PMB INVESTMENT SASAR NILAI PELABURAN RM20 JUTA

2019-07-04

PMB Investment Berhad (PMB Investment) menyasarkan nilai pelaburan sehingga RM20 juta bagi negeri Kelatan dan memperoleh 20,000 pelabur baharu menjelang Disember 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara Berhad (Pelaburan Mara), Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin optimis sasaran itu mampu dicapai berikutan adanya pejabat baharu di negeri itu.

“Pembukaan pejabat PMB Investment di negeri di Kelantan akan memberi satu lembaran baharu kepada PMB Investment untuk lebih fokus menyediakan peluang pelaburan syariah terbaik di samping memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada para pelabur khususnya di negeri ini,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran pejabat PMB Investment di negeri Kelantan.

Hadir dan merasmikan majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed; Ketua Pegawai Jualan dan Operasi, Razali Pungut; Ketua Pembangunan Agensi, Ahmad Shahril Md Yusof; Pengurus Pejabat Wilayah Timur, Ameer Khalifa Mohd Azman dan Pengurus Perhubungan Pejabat Negeri Kelantan, Rosnani Ibrahim.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, dengan adanya cawangan baharu itu, ia akan membuka peluang pelaburan berlandaskan syariah dan kerjaya dalam bidang kewangan syariah kepada rakyat negeri itu.

“Perkhidmatan yang ditawarkan adalah pusat sehenti untuk khidmat nasihat pelaburan, pendaftaran pelaburan baru, khidmat penambahan pelaburan, pendaftaran kerjaya sebagai Perunding Unit Amanah (PUA) dan pusat latihan perunding.

“Dengan pembukaan pejabat baru ini kami berharap lebih ramai masyarakat di luar sana menjadikan pelaburan sebagai gaya hidup selain menjadikan salah satu cabang kerjaya sebagai PUA atau penasihat kewangan patuh syariah di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sehingga Mei 2019 Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PMB Investment adalah berjumlah RM1.2 bilion dan menyasarkan AUM ini akan mencecah sehingga RM5 bilion menjelang Disember 2022.

PMB Investment adalah sebuah syarikat milik penuh Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, sebuah Syarikat Pengurusan Pelaburan Islam (Islamic Fund Management Company, IFMC), menguruskan 15 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk.

Sumber: https://www.bisnessinar.com/pmb-investment-sasar-nilai-pelaburan-rm20-juta/