PMB Investment Lancar PMB An-Nur Waqf Income Fund

18-03-2021

KENYATAAN MEDIA

PMB Investment Berhad (PMB Investment), ahli kumpulan Pelaburan MARA Berhad, hari ini melancarkan PMB–An-Nur Waqf Income Fund (PMB An-Nur Waqf Fund) dana  campuran di bawah pengurusannya. 

 

Majlis pelancaran dana baharu tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.  

 

Bercakap di sidang media, Mahani Ibrahim, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment berkata, PMB An-Nur Waqf Fund yang merupakan dana ke-17 PMB Investment memberi peluang kepada para pelabur memperoleh keuntungan dan membuat amal jariah.  “PMB An-Nur Waqf Fund sesuai untuk mereka yang mencari peluang untuk membuat amal jariah walaupun modal tidak besar serta berpeluang mendapat pulangan daripada pelaburan.  Dana pelaburan syariah mempunyai tahap risiko sederhana serta mencari pelaburan yang mampu memberi pulangan stabil dalam tempoh sederhana hingga panjang”, tambah beliau.

 

Pelaburan ke dalam sekuriti berlandaskan syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia dan memfokus kepada syarikat stabil dengan potensi pertumbuhan melebihi 2 peratus setahun, sukuk dan instrumen pasaran wang merupakan strategi pelaburan dana ini.

 

Ditawar pada harga RM0.50 seunit, PMB An-Nur Waqf Fund turut menawarkan perlindungan takaful percuma kepada pelabur yang layak.  Menurut Mahani, dengan pelaburan RM1,000 ke dalam PMB An-Nur Waqf Fund melayakkan pelabur mendapat perlindungan, dengan perlindungan maksimum RM200,000. Pelaburan minimum untuk pelabur runcit ialah RM100 dan RM10,000 untuk pelabur korporat atau institusi.   

 

PMB An-Nur Waqf Fund mengumumkan pengagihan pendapatan tahunan (jika ada) dengan pecahan 30 peratus untuk diwakafkan sementara 70 peratus daripada pengagihan pendapatan dalam bentuk unit akan dilabur semula.   

 

PMB Investment berkolobrasi dengan Waqaf An-Nur sebagai insitusi wakaf yang mengurus pelbagai aktiviti hasil daripada manfaat wakaf yang diterima ke seluruh negara.  Haji Bukhari Abdul Rahman, Ketua Eksekutif, Waqaf An-Nur berkata, “PMB An-Nur Waqf merupakan satu inisiatif inovasi pewakafan yang dijangka mampu menarik lebih ramai masyarakat untuk berwakaf. Melalui setiap pelaburan dana ini, orang ramai secara tidak  langsung berwakaf dengan Waqaf An-Nur apabila pengagihan pendapatan yang diterima bukan sahaja memberi pulangan kepada pelanggan malah dividen tersebut turut diwakafkan kepada Waqaf An-Nur”. 

Bukhari menambah, “Waqaf An-Nur akan menggunakan pengagihan pendapatan yang diwakafkan bagi tujuan pembelian saham-saham patuh syariah untuk menyuburkan lagi pewakafan. Hasil daripada pembelian saham-saham tersebut akan disalurkan bagi manfaat masyarakat secara berterusan”.

 

Turut hadir ke majlis pelancaran, Datuk Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz, Pengerusi Pelaburan MARA Berhad dan Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation yang juga merupakan Pengerusi Waqaf An-Nur Corporation.

Menurut Mahani, PMB Investment yakin dengan pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pelaburan akan berupaya memberikan prestasi dan pulangan berpatutan pada masa akan datang.  

“PMB Investment menyasarkan pelaburan berjumlah RM50 juta menjelang hujung tahun hadapan.  Keyakinan ini adalah berdasarkan prestasi dana yang diuruskan oleh PMB Investment sendiri selain dari pelbagai aktiviti pemasaran dan promosi yang telah dijalankan dan giat dirancang oleh PMB Investment,” tambah Mahani.

PMB Investment Berhad merupakan salah sebuah syarikat pelopor pengurusan saham amanah di Malaysia dengan pengalaman melebihi lima dekad dalam pengurusan saham amanah dan pengurusan portfolio. Sebuah Syarikat Pengurusan Pelaburan Islam (Islamic Fund Management Company, IFMC), ia mengurus 17 dana unit amanah, dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk.

Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) yang telah beroperasi lebih daripada dua dekad ialah sebuah syarikat berhad dengan jaminan tanpa syer telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi menguruskan saham-saham serta aset yang diwakafkan oleh Johor Corporation (JCorp).   Waqaf An-Nur menguruskan pelbagai aktiviti hasil daripada manfaat wakaf yang diterima, antara aktiviti yang dijalankan adalah menerusi agihan sumbangan bagi pembangunan dan penyeleggaraan masjid, pusat pendidikan, rumah kebajikan dan program kemanusiaan diseluruh Malaysia menerusi dana kebajikan Am, perkhidmatan kesihatan dan dialisis melalui Rangkaian Klinik Waqaf An-Nur di seluruh Malaysia, pengurusan 6 buah Rangkaian Masjid An-Nur, pembiayaan mikrokredit menerusi Dana Niaga serta penyediaan latihan kemahiran menerusi Pusat Waqaf Komuniti.

 

-habis-

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :

Marina Ghazali
Ketua, Komunikasi Pemasaran
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB 
No. 1A Jalan Lumut,
50400 Kuala Lumpur

T: 03 - 4145 3800
F: 03 - 4145 3801 
M: 019 - 232 7423
E: marina@pelaburanmara.com.my